SEJARAH

         Pelajaran bagi anak-anak Melayu di Teluk Intan ini bermula dari sebuah bangunan kecil di Jalan Ah Cheong iaitu dikenali sebagai SRJK (T), Jalan Ah Cheong.  Murid-murid lelaki ditempatkan di bangunan lain di Jalan Maharani (SK Seri Intan sekarang).

         Pada tahun 1933, pihak pentadbir Inggeris ketika itu telah mendirikan sebuah sekolah di kawasan seluas 3 ekar 2 rod pole di Jalan Sungai Nibong/Jalan Jawa.  Pada tahun 1937 bangunan itu siap dan murid lelaki dari Sekolah Jalan Maharani dipindahkan ke banguinan ini yang dinamakan Sekolah Kebangsaan Laki-laki Teluk Anson.

         Bangunan Sekolah Laki-laki ini berbentuk “E” dan mengandungi 9 buah bilik darjah, sebuah bilik Guru Besar dan ruang untuk pejabat.  Guru Besarnya yang pertama ialah Cikgu Sulaiman bin Ahmad (1933 – 1938).

         Diantara tahun 1930-an hingga 1950-an sekolah ini merupakan sebuah sekolah Melayu yang paling baik dan maju di Daerah Hilir Perak.Tambahan pula, buat julung kalinya sekolah ini menawarkan Darjah 6, maka bertambah ramailah anak-anak Melayu dari sekolah-sekolah lain dalam daerah ini datang untuk meneruskan pelajaran mereka di Darjah 6. Ramai murid-murid lepasan sekolah ini sebelum merdeka telah mendapat pekerjaan di sektor-sektor kerajaan mahu pun swasta.

         Selepas merdeka, Dasar Pelajaran Kebangsaan (yang dahulunya Sekolah Inggeris) telah ditukarkan kepada Bahasa Malaysia. Ekoran dari itu, ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah berdekatan tempat tinggal mereka.  Keadaan ini menyebabkan bilangan murid di sekolah ini merosot.

         Sejajar dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan, murid-murid sekolah ini telah berjaya meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.Kini terdapat ramai diantara mereka yang melanjutkan pelajaran pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negara.

        Di bidang Kokurikulum, sekolah ini juga turut mengambil bahagian dalam pertandingan bola sepak, hoki, badminton, rounders dan olahraga yang dianjurkan oleh MSSPk. Murid-murid sekolah ini mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.  Mereka telah mencapai beberapa kemenangan di peringkat kelompok, daerah mahupun negeri.

        Bilangan murid makin bertambah apabila Darjah 7 diwujudkan.  Mengikut catatan pada tahunm1956 sahaja, jumlah murid-murid di sekolah ini adalah seramai 589 orang.Bilangan gurunya pula seramai 23 orang dan dianggap paling ramai ketika itu.  Ekoran dari itu, pihak pentadbir telah mendirikan 2 bangunan tambahan yang mempunyai 6 bilik darjah.

         Dibawah dasar Penjajahan Inggeris, murid-murid bukan sahaja diberi didikan ilmu pengetahuan, tetapi mereka juga diajar ilmu pertukangan kayu, berkebun sayur dan didikan Agama Islam mulai tahun 1955 yang ditadbir oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak.

         Pada September 1980, bangunan lama telah dirobohkan dan sebuah bangunan baru 3 tingkat didirikan di atas tapaknnya. Bangunan baru ini mempunyai 12 bilik darjah, pejabat, perpustakaan, tandas, bilik guru dan stor, menelan belanja sejumlah RM 824,700.00. 

         Bangunan baru ini mula digunakan pada hari Selasa 3 Mei 1982.  Pada 30 September 1982, bangunan baru ini telah dibuka dengan rasminya oleh Duli Yang Maha Mulis Paduka Seri Sultan Perak Almarhum Sultan Idris Al-Mutawakil Alalahi Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kaddasallah. Baginda juga telah berkenan mengurniakan nama baru bagi sekolah ini dengan nama diri baginda sendiri iaitu 

 “ SEKOLAH KEBANGSAAN SULTAN IDRIS II “

Tiada ulasan:

Catat Ulasan